Assalamualaikum w.b.t
Sudah 8 hari kita berpuasa. Tidak terlewat untuk saya ucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca yang budiman, semoga Ramadan kita pada kali ini dapat kita lalui dengan penuh keimanan kepadaNya dan penuh barakah daripadaNya.
Mudah mudahan segala ibadah yang kita usahakan pada bulan yang mulia ini seterusnya sepanjang tahun ini mendapat keberkatan dan diterima sisi Allah S.W.T.
FOKUS dengan ibadah puasa anda dengan mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang ‘lagha’ yang boleh menghilangkan pahala puasa anda.
Begitu juga dalam bidang keusahawanan yang mana fokus adalah sangat penting bagi memastikan matlamat utama dicapai.
Rebutlah peluang untuk belajar pelbagai ilmu tersembunyi Yang Maha Bijaksana cuba ajarkan kepada kita daripada pelbagai aktiviti ibadah pada bulan Ramadan ini seperti:
No #1 Bertarawih secara berjemaah
Bekerja secara BERKUMPULAN merupakan sesuatu yang memerlukan latihan. Ramai diantara kita lebih memilih kerja secara bersendirian tanpa melibatkan mana-mana kumpulan atau tim. Sesetengah perkara boleh dilakukan secara bersendirian dan sesetengah perkara pula adalah lebih baik dilakukan secara berkumpulan.
No #2 Bertadarrus
Belajar untuk BERDISIPLIN dan juga konsisten didalam setiap gerak kerja yang anda lakukan kerana ‘konsistensi’ adalah ‘rencah’ yang sangat penting untuk resipi sebuah kejayaan dan dalam yang masa yang sama mengajar kita untuk merendahkan ego kita dikala kita mungkin ditegur ketika bertadarrus.
No #3 Berqiamullail
Belajar untuk MENGAWAL EMOSI diri kerana bila kita berqiamullail, hati kita, jiwa kita akan beroleh ketenangan tatkala kita pada masa itu adalah sangat dekat pada Allah S.W.T.
No #4 Menderma dan Bersedekah
Belajar untuk IKHLAS-kan diri kita bila menderma dan bersedekah adakah sedekah yang kita hulurkan selama ini betul ‘Lillahi ta’ala’ ataupun sebaliknya. Allah S.W.T sangat suka pada mereka yang suka memberi, jika kita pemurah pada orang lain nescaya Allah akan lebih pemurah kepada kita.
No #5 Melakukan ibadah sunat yang lain
Mengajar dan melatih diri kita untuk bersikap ‘TIDAK BERKIRA’ apabila kita melakukan sesuatu perkara yang baik, kerana jika kita tidak berkira melakukan ibadah sunat kepadaNya in sya Allah, Allah tidak akan sekali-kali berkira dengan kita.
Semoga kita diberikan kekuatan untuk belajar sebanyak mungkin ilmu-ilmu yang tersembunyi yang Allah S.W.T cuba ajarkan kepada kita.
Semoga kita semya berpeluang untuk bertemu dengan malam yang sungguh istimewa iaitu malam ‘Lailatul Qadar’.
‘Ya Allah berkatilah kami di bulan Ramadan Mu yang mulia ini’.
Sekian dan Ramadhan Kareem.
NikFaiz
www.nikfaiz.com