Skip to main content
by nik faiz - kerja kontrak

Kerja Kontrak dan Kerja Tetap

Di Malaysia, saya lihat selama beberapa tahun telah mempraktikkan secara meluas pengambilan pekerja secara kontrak, di negara luar ia sudahpun giat dijalankan semenjak 5-8 tahun yang lepas.

Apabila dilihat kepada trend, biasanya syarikat yang kecil-kecil sahaja yang buat pengambilan pekerja secara kontrak namun sekarang ini sudah banyak syarikat yang besar-besar yang mempraktikkan sedemikian, kenapa perkara ini berlaku?

Setelah melihat lebih terperinci tentang perkara ini terdapat beberapa faktor yang menyebabkan lebih banyak syarikat yang membuat pengambilan secara kontrak. Jadi hari ini saya akan berikan 4 faktor yang utama kenapa syarikat lebih gemarkan menawarkan jawatan kerja kontrak dan apakah faedah yang dapat diperolehi oleh para pencari kerja diluar sana.

#1 – Penjimatan Kos

Jika kita lihat, 10 tahun dahulu syarikat secara aktifnya mengambil pekerja dan kemudiannya menghantar pekerja baru untuk mengikuti beberapa jenis kursus sebelum mereka memulakan kerja. Ini adalah suatu perkara yang sangat baik terutamanya kepada pekerja itu sendiri, dan majikan hanya perlu fokus kepada ‘sikap’ sahaja semasa pengambilan kerana kemahiran akan dapat diberikan melalui program dan latihan.

Namun begitu, ketidakstabilan ekonomi dan kos untuk latihan intensif dan spesifik dilihat memberi tekanan kepada keewangan syarikat, dan perkara itu amat dirasai apabila terdapat kakitangan yang mendapat latihan intensif meninggalkan syarikat selepas setahun bekerja.

Syarikat melihat ia sebagai satu investment yang berisiko tinggi dan membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar kakitangan sebaliknya menghendaki kakitangan tersebut belajar dari kakitangan lain yang telah lama berkhidmat.

Apa yang menariknya apabila syarikat melakukan sedemikian adalah, peluang untuk calon mengenengahkan keupayaan dan kemahiran mereka menjadi lebih luas, disamping menggalakkan calon untuk sentiasa menambah baik keupayaan dan potensi diri. Selain itu juga ianya akan memberikan peluang untuk mereka yang benar-benar layak menjawat jawatan yang ditawarkan.

Jadi ianya dilihat sebagai peluang yang tiada had dan sentiasa terbuka untuk mereka yang lebih baik dan lebih layak.

#2 – Konsep Pandu Uji

Adakah anda akan mencari dan membeli kenderaan tanpa sebarang pandu uji? sudah tentunya tidak kan? Kenapa kita harus pandu uji kenderaan tersebut sebelum membelinya? Supaya kita dapat kenderaan yang terbaik untuk kegunaan kita beberapa tahun kehadapan, dan kita juga akan menilai adakah pelaburan untuk tempoh 5-9 tahun akan datang itu merupakan pelaburan yang berbaloi atau tidak.

Syarikat pun sama juga, cuma cara dan kaedah mereka untuk ‘pandu uji’ kakitangan adalah menjadikan terma kerja itu secara kontrak. Dengan itu kedua-dua pihak baik pekerja mahupun majikan akan mendapat manfaat yang baik.

Pada pandangan pekerja pula, jika mereka merasakan kurang keserasian atau menghadapi sebagai cabaran sepanjang bekerja, mereka boleh memilih untuk tidak menyambung kontrak setelah tamatnya tempoh kontrak tersebut. Dan pada kebiasaannya syarat-syarat dalam kontrak adalah lebih ‘keras’ dari syarat-syarat untuk perjawatan secara kekal atau ‘permanent’.

Manakala pada majikan pula ianya adalah seakan sama dimana mereka akan lihat daripada segi prestasi yang yang mereka harapkan daripada pekerja, jika mereka tidak berpuas hati terhadap prestasi pekerja mereka ada ruang untuk tidak meneruskan tawaran kontrak kepada pekerja terbabit.

#3 – Meningkatkan Persaingan Sihat

Cuba kita lihat sendiri perilaku antara mereka yang bekerja kontrak dan kerja tetap. Siapa yang anda nampak lebih bersungguh-sungguh dan bersemangat bekerja?

Kita lihat mereka yang berjawatan tetap akan lebih rileks dan tenang, kerana yang berjawatan tetap tidak boleh dibuang kerja tanpa alasan yang sangat kukuh, dan sebarang masalah yang ditimbulkan oleh mereka, pihak syarikat akan memberikan surat-surat amaran, apabila diberikan amaran, mereka akan perbaiki sekejap dan akan berulang lagi. ini hakikat apa yang berlaku seluruh negara.

Manakala mereka yang berkerja secara kontrak pula berlumba-lumba untuk pamerkan prestasi, dan juga menjaga perilaku mereka secara yang terbaik dengan harapan kontrak mereka disambung dan sebagainya.

Oleh itu, setiap pekerja samada suka atau tidak, mereka harus capai KPI yang telah ditetapkan oleh syarikat, kerana KPI tersebut adalah penentu samada kontrak mereka diteruskan atau tidak. Dengan kaedah pengambilan secara kontrak ini maka akan wujud persaingan yang lebih sihat dan kompetitif dikalangan pekerja dan golongan ‘makan gaji buta’ akan dapat dikawal dan diselia dengan lebih baik.

Sekiranya anda baru sahaja masuk dan dikategori sebagai orang baru, jemput baca bagaimana anda nak kenali rakan-rakan sekerja anda di office.

#4 – Perancangan Tenaga Kerja

Satu lagi sebab yang saya lihat menjadi keutamaan syarikat untuk mengimplemetasikan pekerja kontrak adalah dari segi perancangan tenaga kerja.

Ia secara keseluruhannya dilihat memberikan kelebihan kepada syarikat namun begitu ia tidak bermakna tiada kelebihan untuk pekerja itu sendiri.

Kebanyakkan syarikat yang beroperasi berpandukan kepada jumlah projek yang diperolehi, jika kontrak projek yang mereka perolehi itu menuntut lebih ramai tenaga kerja, maka mereka akan ambil pekerja berdasarkan sesuatu kontrak projek tersebut.

Katakan projek yang diperolehi oleh syarikat tersebut berdurasi selama 3 tahun, oleh itu sejumlah tambahan pekerja itu hanya akan bekerja selama tiga tahun bergantung kepada prestasi melainkan jika ada perolehan projek baru yang memerlukan sejumlah tenaga kerja yang sama

Kepada pekerja pula, ia adalah suatu peluang untuk anda mencari peluang pekerjaan yang baru di syarikat yang baru tanpa ada rekod yang tercalar, sekaligus memberikan peluang untuk anda ‘upgrade’ gaji dan ‘benefit’ yang lebih baik.

Kepada anda yang ditawarkan jawatan kerja kontrak ataupun sedang menjawat jawatan secara kontrak, anda tidak perlu rasa lemah semangat atau merasakan ‘insecure’ kerana perjawatan secara kontrak secara tidak langsung memberikan semangat dan motivasi kepada anda untuk bekerja dengan baik. Ia juga memberikan ruang yang sangat luas untuk membentuk kerjaya yang sesuai dengan keperluan diri dan keluarga anda,

Ok..saya perlu berhenti menulis dan selamat bekerja kepada anda semua. Semoga dengan sedikit pencerahan yang saya berikan akan dapat memberikan idea dan juga penjelasan yang lebih baik insyaAllah.

PS: Jika nak saya bantu dan guide anda memulakan kerjaya baru atau kembangkan kerjaya sedia ada anda sempena hujung tahun 2020 ini sekiranya itu adalah matlamat anda, klik sini untuk mendapatkan buku terbaru tulisan saya buku “Mudah Dapat Kerja – Panduan Lengkap Untuk Bantu Anda Dapat Kerja dengan Mudah Dan Cepat!”

https://buku.careerexpert.my

Jumpa anda di sana ya!

Nik Faiz, CPCC
Kuala Lumpur

Leave a Reply

*

CommentLuv badge

error: Copyrighted Material. Hubungi Team Career Expert Untuk Poster Pemasaran / Profile.