Motivasi

Merdeka Dalam Kerjaya

By August 31, 2020September 18th, 2020No Comments

Merdeka!…merdeka!….merdeka!…satu perkataan yang dilaungkan setiap tahun bermulanya dari tahun 1957 sehinggalah sekarang. Bagi individu yang berkait secara terus dengan peristiwa kemerdekaan, laungan ‘Merdeka!’ memberikan makna yang cukup mendalam kepada diri mereka.

Bagaimana pula erti kemerdekaan dari sudut kerjaya? Adakah anda sudah merdeka? Sempena bulan Merdeka 31 Ogos, kali ini saya ingin membawa anda untuk menghayati kemerdekaan dari sudut kerjaya.

Saya yakin kerana setiap individu masyarakat Malaysia sudah semestinya berkerjaya tidak kira besar atau kecil peranan kita, pastinya semuanya menyumbang kepada pembentukan ekosistem masyarakat yang aman dan harmoni seperti yang kita kecapi ketika ini.

Pada saat kita dilanda pandemik yang telah meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia sekarang ini, tentunya agak berat lidah untuk melaungkan ‘merdeka’, kerana sedar akan hakikat bahawa diri masih belum merdeka sepenuhnya daripada virus covid-19 yang boleh berjangkit pada bila-bila masa hanya dengan sedikit kealpaan dan sikap mengambil mudah akan hal kebersihan dan kesihatan.

Kebebebasan Mendapat Kerjaya Yang Diimpikan

Apa yang saya maksudkan dengan merdeka dari sudut kerjaya adalah, kebebasan untuk mendapat kerjaya yang diimpikan dan dalam masa yang sama mencipta peluang pekerjaan sendiri. Adakah diri kita masih lagi terikat dengan corak pekerjaan yang lama? iaitu menunggu peluang bertahun-tahun untuk naik pangkat dan naik gaji, yang mana pada zaman sekarang ini telah memungkinkan kita memegang suatu jawatan besar dalam umur yang masih muda? Tidak terkejutkah mungkin suatu hari nanti kebanyakkan mesyuarat-mesyuarat penting akan dihadiri oleh orang-orang muda pada kebanyakkannya? dan ya! mereka anak-anak muda yang sudah merdeka dalam kerjaya mereka

Mungkin sebahagian besar daripada kita sudahpun sedia maklum bahawa, peluang pekerjaan menjadi sangat kritikal pada saat seluruh dunia dilanda wabak covid-19 dan ratusan juta manusia telah kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata. di Malaysia sendiri pun terdapat lebih dari 800 ribu individu yang berstatus penganggur. Adakah ‘Merdeka’ apabila masih mempunyai tunggakan hutang yang belum dilangsaikan kerana belum ada pekerjaan?

Namun persoalannya sampai bila? Saya menganggarkan bahawa angka-angka pengangguran tidak akan menunjukkan sebarang trend pernurunan dalam tempoh 5 tahun yang akan datang berikutan tempoh masa yang di ambil oleh kebanyakkan industri untuk pulih dari ekonomi yang sedang tenat. Ini merupakan suatu perkhabaran yang tidak baik dan menuntut semua pihak tidak kira kerajaan mahupun pun swasta, semua pihak harus memainkan peranan yang lebih serius.

Masa Untuk Bangkit Semula…

Sudah tiba masanya untuk bangkit semula. Kerjaya seseorang individu tidak lagi boleh diukur dan dihadkan berdasarkan segulung ijazah yang dipegang tetapi berdasarkan impian dan cita-cita mereka. Cara pemikiran harus diubah baik individu pelajar mahupun ibubapa dan penjaga bahawa belajar sehingga ke menara gading itu tidak hanya untuk memiliki segulung ijazah, tetapi apa yang lebih penting adalah untuk memperoleh ilmu yang akan digunakan dalam apa jua kerjaya yang bakal ditempuhi nanti.

Seseorang yang memiliki ijazah kejuruteraan tidak semestinya menjadi seorang jurutera bila mana minatnya yang mendalam adalah dalam bidang masakan.

Ia bukan lagi sesuatu perkara yang pelik dan tidak perlu dipandang serong. Sebaliknya galakkan dan sokongan yang tidak putus harus diberikan. Ini zaman survival, pemikiran harus merdeka bagi memboleh kita berfikiran lebih kreatif dan inovatif untuk terus ‘survive’ dalam apa jua situasi yang dihadapi sekarang ini.

Sekarang bukan lagi zaman menunggu…

Zaman sekarang tidak lagi rasional untuk menunggu dan terus menunggu peluang pekerjaan. Individu seharusnya lebih aktif dan kreatif mencari peluang pekerjaan dan mencipta peluang pekerjaan yang baharu. Jika 10% dari penganggur sudah berjaya mencipta peluang pekerjaan yang baharu sudah pasti kita akan saksikan trend penurunan pengangguran dari satu tahun ke satu tahun yang seterusnya. Ini adalah berdasarkan ‘equation’ bahawa apabila satu peluang pekerjaan baharu yang dicipta, ia akan memberi peluang pekerjaan kepada paling kurang 3 individu yang tiada pekerjaan.

Ini telah saya perhatikan sendiri  ada 4 orang anak muda yang tiada pekerjaan. Salah seorang daripada mereka pula ada sedikit modal dan beliau telah membuka gerai menjual Char Koay Teow di tepi jalan  bermula dengan 2 meja. 3 orang lagi rakan beliau di pelawa untuk kerja bersama. Saban tahun melihat perkembangan mereka, ada yang sudah mampu berkahwin, menyewa di rumah flat, memiliki sebuah kereta second-hand dan ini telah membuktikan bahawa usaha mereka ada hasilnya. Dan asalnya dari 4 orang anak muda yang hanya lepak ditepi jalan tanpa pekerjaan, kini sudah ada gerai dan berkerjaya.

Persediaan Mental Adalah Sangat Penting

Dalam menghadapi apa jua situasi kerjaya, salah satu persiapan yang wajib dibuat ketika mana mengejar kerjaya idaman adalah persiapan mental dan spiritual. Statistik menunjukkan bahawa penyakit mental kini telah berada di tangga yang kedua selepas penyakit jantung. Ini menunjukkan bahawa ia bukan lagi suatu penyakit yang tidak memerlukan perhatian yang serius, malah tindakan segera harus dilakukan bagi membendung penyakit ini dari terus berkembang dalam masyarakat.

Kemajuan komunikasi sememangnya telah memudahkan banyak perkara terutamanya dari sudut ekonomi khususnya, namun implikasinya terhadap kesihatan mental juga tidak kurang hebatnya. Bayangkan dengan jaringan media sosial yang pelbagai, memudahkan sesiapa sahaja untuk ‘viralkan’ perkara yang melibatkan aib seseorang dan seterusnya menjadi bahan fitnah yang boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang. Justeru, kesihatan mental harus diutamakan dalam apa sahaja bidang kerjaya yang diceburi agar prestasi kerja sentiasa berada dalam keadaan yang baik. “Hati kena kuat, jiwa kena cekal”

Sekalian, laungkan ‘Merdeka!..Merdeka!..Merdeka!’ tahun ini dengan penuh bersemangat yang luar biasa, kerana itu merupakan keazaman kita semua untuk bebas dari apa jua situasi tidak baik yang sedang kita semua hadapi sekarang ini. Semoga kita semua akan terus diberikan semangat, kekuatan, dan kesabaran untuk harungi segala ujian. Jaga solat dan sentiasa berdoa, Allah sayang anda semua.

Leave a Reply

*

CommentLuv badge

error: Wohoo! © Career Expert Sdn.Bhd - All Rights Reserved